13 Mei 2023 - YB Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan telah melawat Klinik Kesihatan (KK) Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
Semasa lawatan berkenaan, YBrs. Dr. Norashidah binti Abdullah, Pakar Perunding Perubatan Keluarga KK Pengkalan Chepa telah memberikan taklimat ringkas berhubung pengoperasian klinik dan turut membawa YB Timbalan Menteri untuk melihat sendiri kesan insiden kebakaran yang berlaku di Klinik Kesihatan ini pada 13 April 2023 yang lalu.
Kebakaran ini telah menyebabkan operasi klinik ini diberhentikan buat sementara waktu dan semasa tempoh tersebut semua pesakit telah dirujuk ke Klinik Kesihatan berdekatan.
Operasi Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa ini telah dibuka semula pada 7 Mei 2023 yang lalu dengan beberapa limitasi dalam pengoperasiannya.
Keperluan dan tindakan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan fasiliti kesihatan ini terus dapat beroperasi dengan lancar akan diteliti dari semasa ke semasa supaya sistem perkhidmatan kesihatan dapat terus diberikan dengan sebaik mungkin kepada masyarakat setempat.
Turut hadir adalah YBhg. Dato' Dr Zaini bin Hussin, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan.
Kemaskini pada 2023-05-30 15:43:27 daripada