18 Julai 2023- YB Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan telah menghadiri sesi pameran dan dialog bagi pengeluar alat perubatan tempatan bersama Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (Medical Device Authority, MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) di Penang Skills Development Centre (PSDC), Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Sesi dialog ini mengumpulkan 13 pengeluar utama alat perubatan tempatan dalam industri Malaysia dengan tujuan untuk membolehkan pengeluar tempatan mempamerkan penawaran produk-produk mereka kepada wakil-wakil kementerian yang terlibat.
Seiring dengan perkembangan global, hasil eksport negeri Pulau Pinang bagi instrumen dan alat profesional, saintifik dan kawalan adalah berada pada arah aliran yang meningkat dan baik. Pulau Pinang telah memperolehi RM6 bilion dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan dalam Peralatan Ilmiah & Pengukur (termasuk alat perubatan) pada 2018-2022, mewakili 46% dari jumlah keseluruhan negara dan berada dalam lintasan yang tepat untuk menjadi hab teknologi kesihatan untuk Asia, setara dengan negara-negara luar seperti Puerto Rico, Ireland dan Costa Rica.
Turut hadir, YB Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri MITI, YB Sim Tze Tzin, Ahli Parlimen Bayan Baru, YBhg. Dato’ Dr. Muhammad Radzi Abu Hasan, Ketua Pengarah Kesihatan KKM, YBrs. Dr. Muralitharan Paramasua, Ketua Pegawai Eksekutif MDA, YBhg Dato Loo Lee Lian, Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang dan YBrs. Dr. Fazilah Shaik Allaudin, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.
Kemaskini pada 2023-08-09 15:30:57 daripada UKK Norhanita