27 November 2023- Institut Kanser Negara (IKN) telah menganjurkan sebuah majlis makan malam amal bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun yang ke-10 di Serdang, Selangor
Program ini turut diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail dan turut dihadiri oleh YB Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan.
Penganjuran program ini adalah untuk mengumpul dana bagi membantu para pesakit kanser selain meraikan kejayaan yang dicapai sepanjang 10 tahun IKN beroperasi bersama-sama kakitangan, pesakit dan rakan-rakan strategik IKN.
Selain itu, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail turut menyempurnakan pelancaran _buku coffee table_ yang bertajuk “Dasawarsa Nostalgia 10 tahun IKN”. Buku ini diterbitkan bagi merekodkan peristiwa-peristiwa penting sejak awal penubuhan IKN yang turut menjadi Pusat Rujukan Kanser Kebangsaan serta pusat rawatan kanser yang utama di rantau ini.
Dalam majlis yang sama, YB Dr. Zaliha Mustafa telah berkesempatan memberi penghargaan kepada beberapa organisasi yang menyumbang secara signifikan kepada pesakit IKN iaitu Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM), Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG), Pertubuhan Amal Uncle Kentang (Uncle Kentang), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Turut hadir, YBhg. Datuk Dr. Nor Fariza binti Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal), YBrs. Dr. Mohd Anis bin Haron@Harun, Pengarah Institut Kanser Negara, YBhg. Dato’ Leela binti Mohd Ali, Yayasan Budi Penyayang Malaysia dan YBhg. Dato’ Dr. Asmayani binti Khalib, Mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan).
Kemaskini pada 2023-11-28 15:19:43 daripada UKK Norhanita