KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
PERINGKAT KEDUA SERANTA AWAM ATAS TALIAN
BAGI RANG UNDANG-UNDANG TRANSPLANTASI ORGAN DAN TISU
Kadar pendermaan organ di Malaysia hanyalah sekitar 0.8 pendermaan untuk sejuta penduduk yang merupakan antara terendah di dunia. Walaupun terdapat peningkatan kadar pendermaan organ setiap tahun, ia masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan. Sehingga bulan Jun tahun ini, terdapat lebih daripada 17,000 pesakit masih menunggu untuk pemindahan organ. Ketidakseimbangan di antara permintaan dan bekalan organ meningkatkan risiko berlakunya aktiviti yang tidak beretika seperti pemerdagangan organ.
Pada masa ini aktiviti transplantasi organ di negara ini adalah dikawal di bawah Akta Tisu Manusia 1974. Walau bagaimanapun Akta ini hanya menyentuh aspek pendermaan organ dan tisu dari tubuh orang yang telah meninggal dunia bagi tujuan perubatan, pendidikan dan penyelidikan perubatan.
Kerajaan sedang dalam usaha mewujudkan suatu rang undang- undang baru yang lebih menyeluruh bagi menggantikan Akta Tisu Manusia 1974. Ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kadar pendermaan organ dengan mengawalselia pendermaan organ dari penderma hidup. Selain daripada itu ianya juga bertujuan mengawal aktiviti tidak beretika seperti pemerdagangan organ.
Untuk peringkat kedua seranta awam atas talian ini, keseluruhan draf Rang Undang-undang ini akan dipaparkan di laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapatkan pandangan dan maklumbalas lanjut dari pihak berkepentingan dan orang awam bermula dari 12 September 2013. Tarikh Siaran dilanjutkan sehingga 12 Oktober 2013.
Senarai penuh draf Rang Undang-undang dan sebarang cadangan/maklumbalas :