23 Januari 2024- YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia telah menerima kunjungan hormat daripada TYT Dato’ Indera Hermono, Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia. Sesi kunjungan hormat ini adalah untuk membincangkan dan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dengan Republik Indonesia yang telah terjalin lama.
TYT Dato’ Indera Hermono mengucapkan tahniah atas pelantikan YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan Malaysia. Beliau turut menyatakan penghargaan serta tahniah kepada sistem penjagaan kesihatan di Malaysia yang berada di satu tahap yang sangat baik dan sentiasa progresif dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Kecemerlangan sistem penjagaan kesihatan merupakan daya tarik utama untuk rakyat Indonesia datang dan mendapatkan rawatan kesihatan di Malaysia. Malaysia berharap untuk terus menjadi pilihan utama warga asing terutamanya dari Indonesia bagi mendapatkan rawatan kesihatan terutamanya semasa penganjuran Malaysia Year of Medical Tourism 2026 yang dijadualkan pada tahun 2026.
YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa Malaysia memberi fokus terhadap pemerkasaan sistem penjagaan kesihatan primer dan sistem pembiayaan kesihatan yang mampan.Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama erat dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), pertukaran tenaga pakar serta beberapa cadangan kolaborasi yang akan dipersetujui melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam bidang kesihatan yang sedang dalam perbincangan antara pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Republik Indonesia.
Sesi kunjungan hormat ini turut dihadiri oleh para pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pegawai dari pejabat Kedutaan Republik Indonesia di Malaysia.
Kemaskini pada 2024-01-24 15:04:14 daripada UKK Norhanita