4 Februari 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah merasmikan program Hari Kesedaran Kanser Hati Sempena Hari Kanser Sedunia 2024’ anjuran Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dan Akademi Perubatan Malaysia (AMM) di Cheras, Selangor.
Bertemakan “Close the Care Gap” atau Rapatkan Jurang Penjagaan, program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit kanser hati, gejala-gejalanya, faktor risikonya, cara pengesanan, dan cara pencegahannya.
Kanser hati adalah salah satu daripada lima (5) kanser paling lazim di Malaysia selain kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru dan kanser nasofaring.
Kadar kematian kanser hati melonjak secara global, didorong oleh wabak obesiti dan diabetes. Hepatitis B adalah penyebab paling lazim untuk kanser hati primer di seluruh dunia dan Malaysia, menyumbang 44% daripada kes kanser hati, diikuti rapat oleh penyakit hati berlemak dengan 42% kes.
Namun, kanser hati boleh dicegah sama ada melalui imunisasi Hepatitis B atau rawatan awal penyakit hati yang dikesan pada pesakit yang diketahui hepatitis atau sirosis.
Program ini turut melibatkan forum berkaitan kesaksamaaan akses kepada perubatan kanser mampu milik dalam merapatkan jurang penjagaan kanser serta perkongsian pengalaman daripada pesakit kanser hati dengan membariskan beberapa panelis daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, Hospital Universiti, agensi dan persatuan perubatan.
Turut hadir YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM, YBhg.Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Dekan Fakulti Perubatan UKM, YBhg.Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Perubatan merangkap Penasihat Program dan YBhg. Prof. Dr. Rosmawati Mohamed Master Akademi Perubatan Malaysia merangkap Pengerusi Program.
Kemaskini pada 2024-02-06 15:47:05 daripada UKK Norhanita