13 Februari 2024- YB Dato Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan hadir bersama dalam lawatan rasmi PYT. Sara Z. Duterte, Naib Presiden dan Setiausaha Pendidikan, Republik Filipina dan Presiden Majlis Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Setia Alam,Selangor.
Lawatan turut dihadiri oleh YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan ini menandakan kerjasama kukuh antara kedua-dua negara, selain mencerminkan komitmen Malaysia dalam usaha sama untuk memajukan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat di Asia Tenggara dalam bidang pendidikan dan kesihatan.
SEAMEO mempunyai 26 institusi di seluruh Asia Tenggara yang menjalankan program latihan dan penyelidikan dalam pelbagai bidang pendidikan, sains dan budaya.
Malaysia sebagai ahli SEAMEO telah menubuhkan 3 buah Pusat Serantau SEAMEO, iaitu Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Serantau (SEAMEO RECSAM) di Pulau Pinang, SEAMEO SEN di Melaka dan SEAMEO TROPMED Malaysia di Selangor.
Rangkaian SEAMEO TROPMED Malaysia telah menghasilkan 695 graduan untuk Diploma Gunaan Parasitologi dan Entomologi (DAP&E) dari 1970 - 2023 dan 536 graduan untuk Diploma Mikrobiologi Perubatan (DMM) dari 1978 - 2023.
Sejajar dengan misi SEAMEO, objektif utama SEAMEO TROPMED adalah untuk menggalakkan kesihatan, mencegah dan mengawal penyakit di Asia Tenggara. Sebagai Pusat Serantau untuk Mikrobiologi, Parasitologi dan Entomologi, IMR telah menjadi tapak permulaan matlamat ini sejak penubuhannya pada tahun 1966.
KKM mengalukan kerjasama dengan SEAMEO melalui SEAMEO TROPMED Network Malaysia, khususnya dalam bidang kesihatan sekolah, penyelidikan penyakit berjangkit, latihan untuk kawalan wabak penyakit, dan melaksanakan kursus pendek dalam parasitologi, entomologi, mikrobiologi dan epidemiologi.
Turut hadir YBhg. Datuk Dr. Nor Fariza Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), KKM merangkap Ahli Lembaga Pengarah SEAMEO TROPMED dan YBhg. Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim, Pengarah Sekretriat SEAMEO.
Kemaskini pada 2024-02-14 16:47:13 daripada UKK Norhanita