15 Februari 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, telah merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Persidangan dan Pameran Teknologi Perubatan Antarabangsa Asia (ASIAN MEDTEC 2024) di Putrajaya.
Dalam ucapan, beliau berkata Kuala Lumpur bakal menjadi pusat inovasi terkini dalam teknologi perubatan apabila menjadi tuan rumah bagi edisi pertama ASIAN MEDTEC 2024 yang akan berlangsung pada 10 hingga 12 Disember 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Program anjuran Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) ini bertujuan sebagai 'platform' bagi pelancaran inovasi baru, memperkukuh reputasi Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pengeluaran peranti perubatan dan menggalakkan kerjasama di antara agensi kerajaan untuk membentuk ekosistem bertaraf dunia bagi teknologi perubatan di Malaysia.
ASIAN MEDTEC 2024 dijangka menarik lebih daripada 250 syarikat pameran dan 10,000 pengunjung dari 25 negara, termasuk Australia, China, India, Jepun, Korea, Perancis, Jerman, Singapura, dan Amerika Syarikat.
Selain itu, acara ini akan berlangsung bersama dengan Mesyuarat Tahunan ke-28 Global Harmonization Working Party (GHWP) dengan delegasi pihak berkuasa dan industri dari 34 negara seluruh dunia.
Pemilihan Malaysia ssebagai tuan rumah bagi mesyuarat tahunan GHWP menawarkan peluang untuk mengetengahkan kecekapan Malaysia dalam bidang kawalan regulatori peranti perubatan dan memperkukuh perkongsian pelbagai pihak dengan kaedah yang saling menguntungkan.Majlis juga turut diteruskan dengan acara Memorandum Persefahaman antara MDA & AMB Expo dan disaksikan oleh Menteri Kesihatan.
Turut hadir, YBhg. Dato’ Zainal Alhakab Bin Seman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan, YBhg. Dato’ Sri Norazman Bin Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), YBhg. Datuk Dr. Nor Fariza Binti Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan & Sokongan Teknikal), YBrs Dr. Muralitharan Paramasua, Ketua Eksekutif MDA dan YBrs Tuan Andrew Siew, Pengarah AMP Expo Group.
Kemaskini pada 2024-02-16 15:48:21 daripada UKK Norhanita