16 Februari 2024- YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik antara KPJ Healthcare Berhad dan Mayo Clinic melalui dua hospital pakar iaitu KPJ Damansara Specialist Hospital (KPJ DSH) dan Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2).
Kerjasama ini menandakan penglibatan Malaysia yang pertama bersama Mayo Clinic Care Network dalam mencapai sasaran global dalam memacu kecemerlangan perubatan dan inovasi penjagaan pesakit serta mewujudkan standard baharu bagi landskap penjagaan kesihatan di negara ini.
YB Menteri Kesihatan telah menyatakan bahawa penyakit jantung terus menjadi punca utama kematian di Malaysia dengan 18.4% daripada kematian yang disahkan secara perubatan pada 2022, merujuk laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.Serangan jantung dalam kalangan individu yang lebih muda berbanding lima tahun lalu dan peningkatan jumlah kematian yang dikaitkan dengan penyakit paru-paru dalam kalangan belia adalah membimbangkan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited untuk mengurangkan prevalens penyakit kardiovaskular dan paru-paru dalam kalangan rakyat Malaysia.
Dengan menjalin jalinan strategik seperti ini, kepakaran dan pengetahuannya dalam kardiologi, pernafasan dan onkologi dapat dimanfaatkan selain mempertingkatkan proses sedia dan juga memangkin kemunculan penyelesaian baru bagi menangani keperluan penjagaan kesihatan negara yang semakin pesat berkembang.
Kerjasama awam swasta ini juga penting bagi membentuk masa depan penjagaan kesihatan di Malaysia.
Turut hadir YBhg. Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation Berhad, YBrs. Dr. Stacey Rizza, Pengarah Perubatan Eksekutif Mayo Clinic bagi Amalan Antarabangsa dan Asia Pasifik, YBhg. Datuk Md Arif Mahmood, Pengerusi KPJ Healthcare; dan YBrs Encik Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare.
Kemaskini pada 2024-02-19 11:42:48 daripada UKK Norhanita