17 Februari 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah menghadiri Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) yang diadakan di kawasan Jalan Alor, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap atau ringkasnya “BeBAs” dilaksanakan dengan tujuan untuk meningkatkan pemahaman, sokongan dan pematuhan masyarakat terutamanya pengusaha premis makanan dan penjaja berkaitan kepentingan kebersihan premis makanan termasuk kepatuhan larangan merokok.
Program ini menitikberatkan konsep pemerkasaan masyarakat dalam memastikan peraturan kebersihan makanan dan larangan merokok di premis makanan sentiasa dipatuhi.
Kerjasama antara pengusaha premis makanan dengan agensi Kerajaan, agensi swasta, rakan sukarelawan, badan profesional, dan badan bukan Kerajaan (NGO) juga penting dalam memastikan kedua-dua Peraturan ini dapat dipatuhi dengan jayanya.
Program Walkabout BeBAs ini juga adalah bukti bahawa Kerajaan melalui KKM sangat prihatin akan kesihatan dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. Premis yang telah diperiksa dan didapati bersih serta memenuhi kriteria tertentu akan diberi Pengiktirafan Premis Bersih dan Selamat (BeSS) sebagai penghargaan kepada pengusaha sekaligus menggalakkan mereka mengutamakan penyediaan makanan selamat dan sentiasa mengekalkan persekitaran premis yang bersih kepada pelanggan.
Pengiktirafan ini juga memberikan pilihan dan keyakinan kepada orang awam dalam memilih premis makanan yang bersih dan selamat berdasarkan logo BeSS yang dipaparkan oleh premis yang telah diiktiraf. Sehingga kini sebanyak 11,200 telah mendapat Pengiktirafan BeSS di seluruh negara.
Turut hadir, YBhg. Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr Norhayati Rusli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBrs. Dr. Nor'Aishah Abu Bakar Pengarah Kesihatan Negeri Jabatan Keshatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dan Ybrs. Dr. Noraryana Hassan Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit), Bahagian Kawalan Penyakit.
Kemaskini pada 2024-02-19 12:05:49 daripada UKK Norhanita