19 Februari 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah merasmikan Mesyuarat Sesi ke 28 Codex Committee for Fats and Oils (CCFO) di Pullman Kuala Lumpur City Centre Hotel & Residences.
CCFO adalah satu badan subsidiari bagi Codex Alimentarius Commission (CAC) yang merupakan program standard makanan ditubuhkan bersama oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Objektif utama CAC adalah untuk membangun standard antarabangsa yang boleh jadi rujukan kepada pihak berkuasa seluruh dunia dalam pembentukan peraturan masing-masing.
Mesyuarat CCFO diadakan setiap dua (2) tahun sekali dan YBrs. Ts. Norrani bt. Eksan, Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merupakan Pengerusi CCFO yang terkini.
Mesyuarat ini dihadiri lebih dari 140 delegasi daripada 45 buah negara dan 11 organisasi pemerhati. Mesyuarat pada kali ini juga turut meraikan CCFO yang genap 60 tahun pada 2024 sejak ia pertama kali bersidang pada Februari 1964 sewaktu negara UK menjadi tuan rumah.
Turut hadir YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Nor Fariza binti Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal), YBrs. Ts. Norrani bt. Eksan, Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM dan YBrs. Cik Sarah Cahill, Sekretariat Codex.
Kemaskini pada 2024-02-20 08:52:41 daripada UKK Norhanita