23 Februari 2024- YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan dan YBhg. Tan Sri Mohammed Azlan bin Hashim, Pengerusi IHH Healthcare menyaksikan bersama Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan IHH Healthcare Malaysia yang ditandatangani oleh YBhg. Dato' Sri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM dan YBrs. Encik Jean François Naa, Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia di Kuala Lumpur.
MOU ini adalah untuk menyediakan penjagaan dan rawatan kepada 500 lagi pesakit kanser dari hospital KKM di Malaysia melalui rangkaian hospitalnya yang terdiri daripada Hospital Pantai, Hospital Gleneagles dan Pusat Perubatan Prince Court.
Dengan MOU yang diperbaharui ini, IHH Malaysia akan menaja rawatan radioterapi dan radiosurgeri bagi tambahan 500 pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan di hospital KKM mulai 1 Mac 2024.
Pesakit-pesakit ini akan dikenal pasti oleh pakar-pakar KKM yang ditetapkan untuk menerima rawatan di tujuh (7) hospital IHH Malaysia yang dilengkapi dengan mesin Gamma Knife dan Linear Accelerator (LINAC). Sebelum ini, IHH Malaysia telah membantu merawat 500 pesakit kanser menggunakan teknologi terkini ini dalam MOU terdahulu dengan Kementerian Kesihatan bagi tempoh 1 Oktober 2022 – 29 Februari 2024.
MOU ini turut menyokong Pelan Strategik Kawalan Kanser Kebangsaan (2021-2025) untuk meluaskan akses kepada penjagaan dan rawatan bagi pesakit kanser di negara ini. Turut hadir, YBhg. Dato' Indera Dr. Nor Azimi binti Yunus, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan).
Kemaskini pada 2024-02-26 12:14:01 daripada UKK Norhanita