26 April 2024- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Lawatan ini adalah bertujuan untuk meninjau operasi perkhidmatan yang disediakan untuk masyarakat setempat dan hala tuju masa hadapan HKL. Di samping itu, YB Menteri Kesihatan juga turut melawat Jabatan Kecemasan HKL dan menyantuni pesakit-pesakit yang sedang menerima rawatan.
HKL turut dikenali sebagai sebuah hospital terbesar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga merupakan hospital yang terbesar di Malaysia, di Asia Tenggara (ASEAN) dan antara yang terbesar di rantau Asia. HKL merupakan tunjang penyampaian kesihatan di Malaysia, malahan ia juga terkenal sebagai Pusat Rujukan Perubatan Utama Negara.
Kerajaan melalui KKM akan sentiasa berusaha dengan lebih keras untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat dan juga mutu perkhidmatan kesihatan yang diberikan. Antara fokus utama KKM pada masa ini adalah untuk mendigitalisasikan rekod perubatan rakyat Malaysia bagi memudahkan dan melancarkan proses perkhidmatan kesihatan negara.
Turut hadir YBhg. Dato' Sri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, YBhg. Dato' Indera Dr. Nor Azimi Yunus, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM, YBhg. Datin Paduka Dr Rohana Johan, Pengarah Hospital Kuala Lumpur, YBrs. En. Zairi Mat Ali, Setiausaha Bahagian (Pembangunan) YBhg. Dato’ Dr. Mohd Azman Yacob, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan dan YBrs. Dr. Shamsul Anuar Kamarudin, Pengarah Hospital Tunku Azizah.
Kemaskini pada 2024-05-02 15:15:16 daripada UKK Norhanita