14 Mei 2024- YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah melancarkan satu buah buku berkaitan Document Consensus Statement on Patient Blood Management (PBM) peringkat Kebangsaan sempena Bengkel Taklimat & TOT (Training of Trainers) di Putrajaya.
Buku ini adalah siri terbitan pertama hasil kolaborasi Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pusat Darah Negara dan Persatuan Transfusi Darah Malaysia yang mengandungi lapan submodul klinikal iaitu Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Perioperative, Cardiothorasic, Critical Care, Neonatal & Paediatric, Massive Bleeding, Medical dan Nursing.
Buku ini diharap dapat dijadikan rujukan bagi implementasi PBM di Malaysia. PBM adalah suatu konsep evidence based medicine yang melibatkan pelbagai bidang disiplin perubatan (multidisciplinary approach). Prinsip PBM secara asasnya meliputi konsep penggunaan darah berdasarkan indikasi transfusi yang betul, meminimakan kehilangan darah dan mengoptimakan keadaan pesakit (optimizing patient red cell mass) sebelum setiap prosedur atau pembedahan.
Justeru itu konsep PBM yang diaplikasikan dalam pengurusan pesakit boleh membantu mengurangkan prosedur pemindahan darah kepada pesakit. Di samping dapat mengurangkan komplikasi terhadap pesakit, ia juga dapat meningkatkan penjimatan dari segi penggunaan darah dalam jangka masa panjang. Ini bukan saja menyumbang kepada penjimatan kos penjagaan kesihatan (health care cost) tetapi pada masa yang sama dapat memastikan bekalan darah dapat diberi kepada pesakit yang betul-betul memerlukan transfusi darah.
Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa komited dalam mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di seluruh negara. Aspek keselamatan pesakit sentiasa menjadi prioriti dan diharapkan dengan penghasilan buku ini dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di seluruh negara.
Turut hadir YBrs. Dr Nor Hayati binti Ibrahim, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Perkembangan Perubatan, KKM dan YBrs. Dr. Mohammad Masrin bin Md Zahrin, Pengarah Pusat Darah Negara.
Kemaskini pada 2024-05-20 14:43:24 daripada UKK Norhanita