Alat Kebolehcapaian

Cabaran Sistem Kesihatan Negara

Cabaran Sistem Kesihatan Negara

Apakah cabaran yang dihadapi oleh sistem kesihatan negara?

  • Beban Penyakit Berganda
    Peningkatan kadar penyakit tidak berjangkit, penyakit berjangkit, kemunculan semula penyakit lama dan kemunculan penyakit baru seperti COVID-19 membebankan lagi sistem penyampaian kesihatan negara.
  • Masalah Kesihatan Mental
    Peningkatan masalah kesihatan mental menjadi salah satu penyumbang kepada beban penyakit tidak berjangkit dan hilang upaya di Malaysia. Ia bukan hanya menjejaskan kesejahteraan fizikal dan sosial seseorang individu malah turut memberi impak kepada ekonomi negara.
  • Peningkatan Jumlah Warga Emas di Malaysia
    Masyarakat Malaysia kini dalam fasa masyarakat menua. Menjelang 2030, jumlah penduduk Malaysia yang berumur 60 tahun dan ke atas akan meningkat daripada 11.1% kepada 15%. Ini akan memberi impak kepada sistem kesihatan negara kerana data global menunjukkan kos penjagaan kesihatan warga emas adalah 2–3 kali ganda lebih tinggi berbanding kos penjagaan golongan lebih muda.
  • Kurang Penekanan kepada Faktor Penentu Sosial untuk Kesihatan (Social Determinants of Health)
    Kesihatan adalah tanggungjawab pelbagai pihak termasuk rakyat dan bukan hanya tanggungjawab Kementerian Kesihatan semata-mata. 80% daripada penentu kesihatan kita dipengaruhi oleh faktor-faktor di luar sektor kesihatan seperti perumahan, pendidikan, status pekerjaan, pendapatan, akses kepada makanan berkhasiat dan aktiviti fizikal.
  • Kekangan Pembiayaan Kesihatan
    Peningkatan drastik terhadap permintaan perkhidmatan kesihatan serta kenaikan kos perubatan telah mengugat kemampanan pembiayaan penjagaan kesihatan. Jumlah perbelanjaan kesihatan awam negara yang rendah berbanding keperluan rakyat menyebabkan ramai rakyat terbeban apabila terpaksa membelanjakan duit yang banyak untuk mendapatkan rawatan di sektor swasta.
  • Kekangan Sumber Manusia, Fasiliti Kesihatan dan Peralatan Perubatan
    Situasi ketidakseimbangan sumber di antara sektor awam dan swasta disumbangkan oleh beban pesakit yang lebih tinggi di sektor awam berbanding sektor swasta. 64% daripada beban pesakit luar dirawat di sektor awam berbanding hanya 36% di sektor swasta. Ini menyebabkan kesesakan di fasiliti kesihatan awam dan masa menunggu yang lama untuk mendapatkan rawatan. Kekurangan kakitangan, kesesakan akibat beban pesakit tinggi, kekurangan dana dan peralatan yang tidak mencukupi yang perlu diganti serta fasiliti yang daif turut menjejaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan terutamanya di sektor awam.
  • Perubahan Iklim dan Kemerosotan Kesihatan Planet
    Masalah perubahan iklim dan kesihatan planet seperti tanah runtuh, jerebu, pencemaran udara dan air serta banjir semakin teruk. Isu kesihatan planet ini membawa kepada kemerosotan kualiti hidup manusia dan memberi kesan kepada kesihatan kerana menambah beban penyakit dan kos.
custom_html
custom_html
custom_html
custom_html
custom_html
custom_html