- Kertas Putih Kesihatan adalah dokumen dasar reformasi kesihatan negara yang menggariskan cabaran utama yang dihadapi oleh sistem kesihatan serta mengemukakan cadangan penyelesaian secara berfasa dalam tempoh 15 tahun merangkumi aspek penyampaian perkhidmatan, promosi kesihatan dan pencegahan penyakit, pembiayaan kesihatan, serta tadbir urus demi memastikan sistem kesihatan yang lebih berkualiti, mampan dan berdaya tahan.
- Ia telah dibangunkan dengan mengambil kira input pelbagai pemegang taruh termasuk rakyat bagi memastikan ianya bersifat holistik dan inklusif.
- Kertas Putih Kesihatan telahpun dibentangkan dan diluluskan di Parlimen pada 15 Jun 2023. Langkah seterusnya adalah membangunkan Pelan Implementasi Reformasi Sistem Kesihatan. Klik di sini untuk muat turun
- Sistem kesihatan negara terbeban dengan pelbagai isu dan tidak lagi mampan untuk menghadapi cabaran dan krisis di masa depan. Pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak 2 tahun lalu telah menambah lagi tekanan kepada sistem kesihatan negara. Sekurang-kurangnya keadaan itu telah menyedarkan semua pihak betapa perlunya reformasi atau penambahbaikan kepada sistem kesihatan negara yang menyeluruh dan berstruktur bagi memastikan kesihatan rakyat tetap terjaga.
- Kertas Putih Kesihatan ini merupakan usaha bersama ke arah menyediakan sistem perkhidmatan kesihatan yang lebih adil dan saksama (equitable), berkualiti tinggi, mudah dicapai dengan kos berpatutan dan mampan untuk jangka masa panjang bagi memenuhi keperluan kesihatan rakyat.
- Kertas Putih Kesihatan dibangunkan untuk :
- Berkongsi maklumat mengapa reformasi kesihatan negara diperlukan dengan segera;
- Mengemukakan usaha untuk menjadikan sistem kesihatan kita lebih saksama, mampan dan berdaya tahan dalam memberi perkhidmatan yang merangkumi semua peringkat kehidupan rakyat;
- Mencadangkan tonggak keutamaan reformasi kesihatan seperti penyampaian perkhidmatan, pembiayaan, tadbir urus serta organisasi dalam tempoh 15 tahun;
- Negara yang Sihat
Sistem kesihatan yang memfokuskan kepada perkhidmatan pencegahan dan promotif agar rakyat kekal sihat dan sejahtera. - Sistem Kesihatan yang Saksama dan Berpaksikan Rakyat
Rakyat mempunyai liputan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, lebih dekat dan mudah dicapai. Perkhidmatan kesihatan diterajui penjagaan kesihatan primer, dengan kos berpatutan di samping melindungi rakyat daripada perbelanjaan kesihatan yang memudaratkan. - Sistem Kesihatan yang Berdaya Tahan
Sistem kesihatan yang lestari dan dapat menghadapi cabaran kesihatan masa kini dan akan datang. - Ekosistem Kesihatan yang Terbuka dan Inovatif
Ekosistem kesihatan yang memanfaatkan teknologi dan pendigitalan, penyelidikan, inovasi, serta pendekatan berasaskan bukti dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan supaya lebih tepat, efisien dan berkesan. - Sistem Kesihatan yang Dihargai dan Dibanggakan oleh Semua
Sistem kesihatan negara yang disayangi rakyat kerana dapat memberikan perkhidmatan terbaik sehingga rakyat merasa keempunyaan terhadapnya.
- Kertas Putih Kesihatan dibangunkan dengan mengambil kira input dan cadangan secara inklusif daripada semua pihak berkepentingan, dalam dan luar KKM, termasuk rakyat.
- Sesi libat urus diadakan melalui aktiviti perbincangan kumpulan berfokus, sesi - sesi town hall di peringkat zon dan negeri, serta Persidangan Kemuncak Polisi Kesihatan pada tahun 2022 yang lalu.
- Sejak Mac 2022 sehingga Nov 2023, sejumlah 874 kumpulan pihak berkepentingan telah terlibat di dalam sesi libat urus dengan kehadiran seramai 9281 orang peserta mewakili pelbagai pihak berkepentingan.
- Pembangunan Kertas Putih Kesihatan turut menerima nasihat kepakaran dan input teknikal daripada ahli Majlis Penasihat Kertas Putih Kesihatan dan pakar-pakar perunding dari World Health Organization (WHO).
- Beban Penyakit Berganda
Peningkatan kadar penyakit tidak berjangkit, penyakit berjangkit, kemunculan semula penyakit lama dan kemunculan penyakit baru seperti COVID-19 membebankan lagi sistem penyampaian kesihatan negara. - Masalah Kesihatan Mental
Peningkatan masalah kesihatan mental menjadi salah satu penyumbang kepada beban penyakit tidak berjangkit dan hilang upaya di Malaysia. Ia bukan hanya menjejaskan kesejahteraan fizikal dan sosial seseorang individu malah turut memberi impak kepada ekonomi negara. - Peningkatan Jumlah Warga Emas di Malaysia
Masyarakat Malaysia kini dalam fasa masyarakat menua. Menjelang 2030, jumlah penduduk Malaysia yang berumur 60 tahun dan ke atas akan meningkat daripada 11.1% kepada 15%. Ini akan memberi impak kepada sistem kesihatan negara kerana data global menunjukkan kos penjagaan kesihatan warga emas adalah 2–3 kali ganda lebih tinggi berbanding golongan lebih muda. - Kurang Penekanan kepada Faktor Penentu Sosial untuk Kesihatan (Social Determinants of Health)
Kesihatan adalah tanggungjawab pelbagai pihak termasuk rakyat dan bukan hanya tanggungjawab Kementerian Kesihatan semata-mata. 80% daripada penentu kesihatan dipengaruhi oleh faktor di luar sektor kesihatan seperti perumahan, pendidikan, status pekerjaan, pendapatan, akses kepada makanan berkhasiat dan aktiviti fizikal. - Kekangan Pembiayaan Kesihatan
Peningkatan drastik terhadap permintaan perkhidmatan kesihatan serta kenaikan kos perubatan telah menggugat kemampanan pembiayaan penjagaan kesihatan. Jumlah perbelanjaan kesihatan awam negara yang rendah menyebabkan ramai rakyat terbeban apabila perlu mendapatkan rawatan di sektor swasta. - Kekangan Sumber Manusia, Fasiliti Kesihatan dan Peralatan Perubatan
Ketidakseimbangan sumber di antara sektor awam dan swasta berlaku kerana beban pesakit yang jauh lebih tinggi di sektor awam. 64% pesakit luar dirawat di sektor awam berbanding 36% di sektor swasta. Ini menyebabkan kesesakan, masa menunggu yang lama, kekurangan kakitangan, dana serta peralatan yang tidak mencukupi. - Perubahan Iklim dan Kemerosotan Kesihatan Planet
Perubahan iklim seperti tanah runtuh, jerebu, pencemaran udara dan air, banjir serta kemarau melampau menjejaskan kesihatan manusia. Isu ini juga memberi kesan kepada kualiti hidup serta meningkatkan beban penyakit dan kos kesihatan.
Kertas Putih Kesihatan menggariskan 4 tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan seperti berikut:

Manfaat Reformasi Kesihatan Negara
- Pelan Kesihatan Berpaksikan Individu
Rakyat mempunyai pelan kesihatan yang berpaksikan individu berdasarkan keperluan kesihatan / perubatan seseorang. - Akses Perkhidmatan Kesihatan Lebih Baik
Rakyat mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dengan kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta. - Konsistensi Rawatan
Rakyat boleh mendapatkan rawatan dari doktor dan pasukan kesihatan yang sama setiap kali diperlukan serta boleh juga memilih untuk mendapatkan rawatan di klinik lain. - Bimbingan dan Tunjuk Ajar
Rakyat mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada pasukan kesihatan komuniti yang terlatih supaya kekal sihat. - Perkhidmatan Berkualiti dengan Masa Menunggu Berpatutan
Rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti dengan harga dan masa menunggu yang berpatutan. - Akses Rekod Perubatan Atas Talian
Rakyat boleh mengakses rekod perubatan peribadi secara atas talian. Rekod perubatan juga boleh diakses oleh hospital dan klinik di seluruh negara bagi tujuan rawatan. - Perkhidmatan Kesihatan Secara Atas Talian
Rakyat boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan secara atas talian bagi keadaan tertentu.
- Reformasi sistem kesihatan amat memerlukan penglibatan semua pihak termasuklah rakyat. Oleh itu, sokongan anda amat penting dalam memastikan reformasi kesihatan negara dapat dilaksanakan sebagaimana yang diharapkan. Anda boleh membantu menyuarakan sokongan anda melalui saluran seperti media sosial, ceramah, forum, podcast, penulisan, dan lain-lain yang sesuai.






