Page 35 - LAPORAN TAHUNAN KKM 2019
P. 35

PROGRAM SARJANA DAN DOKTOR FALSAFAH


               Pada  tahun  2019,  sejumlah  126  orang  pegawai  KKM  daripada  pelbagai  skim
               perkhidmatan  kesihatan  telah  ditawarkan  biasiswa  untuk  melanjutkan  pengajian
               di  peringkat  Sarjana  manakala  24  pegawai  di  peringkat  Doktor  Falsafah  dalam
               bidang yang berkaitan dengan sektor kesihatan. Bilangan biasiswa bagi pengajian di
               peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah yang ditawarkan pada tahun 2019 mencatatkan
               peningkatan sebanyak 22.9 peratus berbanding tahun 2018. Biasiswa di peringkat
               Sarjana dan Doktor Falsafah tersebut ditawarkan kepada 50 orang pegawai pergigian
               dan  36  orang  pegawai  farmasi,  manakala  selebihnya  ditawarkan  kepada  lain-lain
               profesion kesihatan di KKM.


               KURSUS JANGKA PENDEK DALAM PERKHIDMATAN

               Pada tahun 2019, sejumlah 88 orang anggota KKM telah menghadiri kursus jangka
               pendek dalam perkhidmatan di luar negara berbanding 39 orang pada tahun 2018.
               Peningkatan ini dapat dilaksanakan ekoran daripada penyusunan semula keutamaan
               latihan dalam Pelan Operasi Latihan KKM dan peningkatan peruntukan Latihan Dalam
               Perkhidmatan Tahun 2019 berjumlah RM50 juta.

               PEMBANGUNAN DAN PERKEMBANGAN PROGRAM LATIHAN

               Pada tahun 2019, Bahagian Pengurusan Latihan telah berjaya membangunkan dua
               (2) program lanjutan baru iaitu Sijil Post-Basic Penjagaan Luka dan Sijil Post-Basic
               Penjagaan Reumatologi. Kedua-dua program ini ditawarkan di Institut Latihan KKM
               Sungai Buloh mulai bulan September 2019. Di samping itu, dua (2) program lanjutan
               telah dinaik taraf daripada Sijil Post-Basic kepada Diploma Lanjutan iaitu Diploma
               Lanjutan  Mikrobiologi  Perubatan  dan  Diploma  Lanjutan  Epidemiologi  Gunaan.
               BPL juga telah melaksanakan penambahbaikan ke atas kesemua 11 kurikulum pra
               perkhidmatan peringkat diploma dengan menggunakan pendekatan Outcome Based
               Education (OBE) dan akan digunakan di ILKKM mulai 1 Januari 2020.


               PEMBANGUNAN PENGAJAR

               Pada tahun 2019, perjawatan pengajar (pelbagai bidang) secara keseluruhan adalah
               1,247 dengan pengisian pengajar adalah seramai 1,019 orang bagi 24 Institut Latihan
               KKM dan Bahagian Pengurusan Latihan manakala bilangan instruktor klinikal di bawah
               ILKKM seramai 398 orang. Kemaskini perjawatan pengajar dan instruktor klinikal ini
               adalah sehingga Disember 2019.


               Di sepanjang tahun 2019, Unit Pembangunan Pengajar, Bahagian Pengurusan Latihan
               telah berjaya menganjurkan sebanyak  lapan  (8) kursus fungsional  dan  empat (4)
               kursus generic  termasuk  program  profesional  kepada  instruktor  klinikal di ILKKM.




                                                                                       LAPORAN TAHUNAN
                                                                        KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 2019  25
   30   31   32   33   34   35   36   37   38   39   40