Page 306 - LAPORAN TAHUNAN KKM 2019
P. 306

PENGENALAN

            Pihak  Berkuasa  Peranti  Perubatan  (PBPP)  merupakan  sebuah  badan  berkanun  di
            bawah  Kementerian  Kesihatan  Malaysia  yang  ditubuhkan  di  bawah  Akta  Pihak
            Berkuasa  Peranti  Perubatan  2012  (Akta  738)  pada  15  Mac  2012.  Penubuhan  ini
            bertujuan untuk mengawal selia peranti perubatan, industri peranti perubatan dan
            aktivitinya melalui penguatkuasaan Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737). Fungsi
            PBPP adalah;


                 i.  Melaksanakan,  menguatkuasakan,  menimbangkan dan mengesyorkan
                     pembaharuan kepada undang-undang peranti perubatan.
                ii.  Mengawal selia semua perkara yang berhubungan dengan peranti perubatan,
                     industri peranti perubatan dan aktivitinya.
                iii.  Untuk menggalakkan dan mempromosi pembangunan peranti perubatan,
                     industri  peranti  perubatan  dan  aktivitinya  termasuklah  dalam  bidang
                     penyelidikan dan latihan
                iv.  Untuk memberikan khidmat rundingan, nasihat dan apa-apa perkhidmatan
                     lain berhubung dengan peranti perubatan, industri peranti perubatan dan
                     aktivitinya.
                 v.  Untuk mengenakan fi atau caj bagi perkhidmatan yang diberikan oleh pihak
                     berkuasa.

            PBPP  diterajui  oleh  Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia,
            YBhg. Datuk Dr. Noor Hisham b. Abdullah yang bertindak sebagai Pengerusi Pihak
            Berkuasa bersama dengan lapan (8) anggota yang lain yang terdiri daripada Ketua
            Eksekutif PBPP, wakil dari Kementerian Kewangan Malaysia, wakil dari Kementerian
            Kesihatan Malaysia dan juga wakil-wakil dari industri peranti perubatan di Malaysia.
            Pengurusan dan pentadbiran PBPP diketuai oleh Ketua Eksekutif dan dibantu oleh tiga
            (3) Pengarah Bahagian. Struktur organisasi PBPP terdiri daripada tiga (3) bahagian dan
            dua (2) unit iaitu Bahagian Pendaftaran, Pelesenan dan Penguatkuasaan, Bahagian
            Dasar Kod dan Standard, Bahagian Penilaian Teknikal dan Unit Khidmat Pengurusan
            serta Unit Komunikasi Korporat. PBPP juga disokong oleh Penasihat Undang-undang
            dan Pegawai Integriti.

            Pelaksanaan  dan  penguatkuasaan  Akta  737  dan  peraturan  di  bawahnya  yang
            dijalankan oleh PBPP termasuk;
                 i.  Pendaftaran peranti perubatan dan badan penilaian pematuhan,
                ii.  Pengeluaran lesen establismen,
                iii.  Penyemakan notifikasi pengecualian daripada pendaftaran di bawah Perintah
                     (Pengecualian) Peranti Perubatan 2017,
                iv.  Pemantauan dan pengawasan pasca pasaran dan iklan,
                 v.  Penguatkuasaan.

            Selain  itu,  PBPP  juga  menjalankan  aktiviti-aktiviti  bagi  membantu  industri  seperti
            pengkelasan produk, pengeluaran Sijil  Penjualan  Bebas  (Certificate  of  Free  Sales),
            pembangunan dasar, polisi dan dokumen panduan, khidmat nasihat dan program
            latihan dan kesedaran.




        LAPORAN TAHUNAN
    296  KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 2019
   301   302   303   304   305   306   307   308   309   310   311