Page 99 - LAPORAN TAHUNAN KKM 2019
P. 99

PERKHIDMATAN KESIHATAN REMAJA

               Populasi remaja (10-19 tahun) di Malaysia adalah seramai 5,385,700 (17.0 peratus).
               Seramai 350,567* remaja (6.5 peratus) telah disaring (melebihi sasaran 5 peratus).
               Lima masalah utama yang dikenalpasti adalah masalah nutrisi (38,176 orang atau
               10.89 peratus), tingkahlaku berisiko (13,019 orang atau 3.71 peratus), masalah fizikal
               (7,938 orang atau 2.26 peratus), masalah kesihatan seksual dan reproduktif (3,099
               orang atau  0.88 peratus)  dan  masalah  kesihatan  mental  (2,329  orang atau  0.66
               peratus).

               Kadar Kesuburan Mengikut Umur (ASFR) dalam kalangan remaja 15-19 tahun juga
               menurun  daripada  28/1000 per populasi  (1992) kepada  9/1000 (2018) (Jabatan
               Perangkaan Malaysia, 2019). Bilangan kes antenatal baru dalam kalangan remaja yang
               berdaftar di fasiliti kesihatan primer KKM dalam tempoh lima (5) tahun menunjukkan
               penurunan daripada 13,831 (2015) kepada 10,349 (2019). Daripada jumlah 10,349
               tersebut,  didapati  40.2  peratus  (4,163)  tidak  berkahwin  dan  80.2 peratus  (8,298)
               tidak bersekolah. Negeri dengan statistik remaja hamil berdaftar di fasiliti kesihatan
               kerajaan tertinggi pada 2019 adalah Sarawak (1,967 kes), diikuti oleh Sabah (1,824
               kes) dan Pahang (907 kes) (Data JKN 2019).


               Program Generasiku Sayang (GKS) yang dilancarkan pada tahun 2015 adalah salah
               satu usaha meningkatkan kesedaran dan menurunkan stigma remaja hamil dalam
               kalangan masyarakat dengan  menyediakan  intervensi  holistik  meliputi  aspek
               pencegahan,  perlindungan  serta  bimbingan  bersepadu.  Ini  bagi  memastikan
               kesihatan, keselamatan dan kebajikan ibu serta bayi yang dikandung. Sehingga kini,
               program ini telah dilaksanakan di semua negeri dengan pendekatan berbeza-beza
               melalui kerjasama pintar pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta.


               PERKHIDMATAN KESIHATAN DEWASA

               PROGRAM SARINGAN KANSER SERVIKS KEBANGSAAN

               WHO pada bulan Mei 2018 telah menyeru agar tindakan diambil untuk mencapai
               eliminasi kanser serviks secara global dengan insidens kurang daripada 4/100,000
               penduduk. Pelaksanaan ujian HPV telah diluluskan dalam Mesyuarat Khas KPK Bil.
               3/2019  pada  24  Jun  2019  dan  Mesyuarat  Jawatankuasa  Dasar  dan  Perancangan
               Kementerian Kesihatan Malaysia (JDPKK) pada 30 September 2019.


               Saringan kanser serviks ditawarkan kepada semua wanita aktif secara seksual di antara
               umur 30 hingga 65 tahun dan sasaran liputan yang ditetapkan adalah 40 peratus.
               Ujian HPV ditawarkan kepada wanita aktif secara seksual berusia antara 30 hingga 49
               tahun dan sebagai permulaan di empat (4) negeri.














                                                                                       LAPORAN TAHUNAN
                                                                        KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 2019  89
   94   95   96   97   98   99   100   101   102   103   104